DEFINISI MAQASID SYARIAH

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera kepada pembaca sekalian. Hai, apa khabar, puasa penuh tak setakat harini? Semoga mampu harungi bulan Ramadhan sekali dengan ibadah.

            Entri harini nak cerita pasal definisi Maqasid Syariah. Sebelum ni tau sebut je perkataan Maqasid Syariah, tapi maksud secara jelasnya, tau tak?

Definisi Maqasid Syariah dihuraikan dari sudut bahasa yang berasas kepada pemecahan ungkapan iaitu maqasid dan syariah secara berasingan, kemudian melihatnya sebagai satu ungkapan yang tersendiri sebagai satu istilah.  

Dari sudut bahasa, maqasid adalah perkataan jamak kepada maqsad yang memberi maksud jalan yang lurus, keadilan, pegangan, punca dan kesederhanaan. Selain itu, maqasid berasal dari kata qashada, yaqshid, qashdan dan qashidin yang bermaksud keinginan yang kuat, berpegang teguh, dan sengaja (Ibn Manzur, 1994)

Manakala syariah dari segi bahasa berasal dari kata syara’a as-syai yang bererti menjelaskan sesuatu atau diambil dari asy-syara’ah yang bermaksud sumber air yang tidak pernah terputus dan terus mengalir. Selain itu, syariah juga bererti memulai sesuatu pekerjaan dan juga bermaksud menjelaskan, menerangkan dan menunjukkan jalan. (Ibn Manzur, 1994).

Para ulama terdahulu hanya menyatakan maqasid syariah dari sudut hasil dan tujuannya sahaja. Berikut merupakan beberapa ungkapan berkaitan maqasid syariah yang telah diberikan oleh para ulama terdahulu yang terdapat di dalam kitab-kitab hasil penulisan mereka.Dalam kitab al-Ghalil fi Bayan al-Shabah wa al-Mukhil wa Masalik al-Ta’lil, Al-Ghazzali menyatakan bahawa “Matlamat syarak terhadap manusia adalah pemeliharaan terhadap agama, diri, akal, keturunan dan harta.” (Al-Ghazali, 1999).

Menurut Saif al-Din al-Amidi dalam kitab al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, beliau menyatakan bahawa “matlamat dari pensyariatan hukum sama ada untuk mencapai kemaslahatan atau menolak kemudaratan ataupun kedua-duanya sekali.” (Al-Amidi, 1980) Menurut Abu Ishaq al-Shatibi pula dalam kitab al-Muwafaqat Fi Usul al-Shari’ah, “pentaklifan-pentaklifan syarak semuanya bertujuan memelihara matlamatnya terhadap manusia. Matlamat tersebut terbahagi kepada tiga iaitu daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.” (al-Shatibi, 1999).

Jadi setakat ini sahaja perkongsian saya untuk entri kali ini. Harap yang membaca dapat manfaat dan sebarkan kepada yang lain supaya pahala itu berterusan.



Comments